TEXTAREA_ID

Wednesday, June 2, 2010

WARKAH BUAT DIRI & SAUDARAKU BUAT PENGUBAT HATI YANG BERKARAT...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Wahai diri & saudaraku,

Selaku insan yang mendokong perjuangan Islam,
Selaku insan yang meletakkan diri di atas jalan menegakkan kebenaran,
Selaku insan yang menggelar diri sebagai seorang murabbiyah,
Selaku insan yang sentiasa melalui jejak kehidupan Rasulullah saw,
Ku yakin diri kita akan sentiasa diuji dengan pelbagai ujian kehidupan.
Jalan yang terbentang dihadapan kita adalah jalan2 berduri yang penuh rintangan, kesusahan dan cubaan...
Dengan kita merelakan diri kita berada di jalan ini, bermakna kita merelakan diri kita berkorban apa sahaja demi memastikan hak Allah dimuka bumi ini ditegakkan.

Wahai diri & saudaraku,
Dengan realiti yang tebentang luas inilah tidak mustahil akan ada diantara kita yang akan futur (na'uzubillah..). Namun inilah hakikat yang sering berlaku dikalangan pendokong dakwah yang pada mulanya hebat, namun apabila diuji dengan pelbagai ujian mereka menjadi antara golongan yang tercicir ditengah-tengah medan jihad ini.
Mereka diuji dengan pelbagai kesibukan dunia,
Mereka diuji dengan kekecewaan,
Mereka diuji dengan kemalasan dalam diri,
Mereka diuji dengan kepenatan yang melemahkan diri,
Mereka diuji dengan pelbagai alasan untuk meninggalkan jalan ini...

Wahai diri & saudaraku,
Sesungguhnya hatiku tidak rela jika diri ini dan jika ada antara kita yang tercicir daripada jalan ini,
Kerana kita telah melalui suatu sistem pentarbiyyahan yang seharusnya mampu mendidik diri kita untuk terus thabat diatas jalan ini.

Wahai diri & saudaraku,
Sesungguhnya hatiku tidak rela jika diri ini dan jika ada antara kita yang tercicir daripada jalan ini,
Kerana hati ini terlalu menyayangi ikatan ukhuwwah yang kita bina sepanjang jalan ini.

Wahai diri & saudaraku,
Sesungguhnya hatiku tidak rela jika diri ini dan jika ada antara kita yang tercicir daripada jalan ini,
Kerana hati ini masih memerlukan sokongan dan dokongan daripadamu untuk terus berada dan menyumbang untuk mencapai matlamat yang kita sama-sama bina sepanjang jalan ini.

Wahai diri & saudaraku,
Sesungguhnya hatiku tidak rela jika diri ini dan jika ada antara kita yang tercicir daripada jalan ini,
Kerana hati ini terlalu rindu untuk berjumpa kembali di syurga nanti.

Wahai diri & saudaraku,
Janganlah sesekali engkau menyalahkan sesiapa jika kamu termasuk antara golongan yang futur,
Bukan kegagalan sistem tarbiyyah kita yang membuatkan dirimu terkeluar daripada jalan ini,
Namun cerminlah dirimu,
Adakah engkau benar-benar ikhlas dalam perjuanganmu selama ini?
Adakah engkau benar bersungguh-sungguh mencari ilmu tanpa mengharapkan sepenuhnya pada murabbimu?
Adakah benar engkau telah membersihkan hatimu terlebih dahulu sebelum bekerja?
Adakah engkau telah meletakkan Redha Allah sebagai matlamat tertinggi dalam setiap gerak kerja dan perkara yang engkau laksanakan?

Wahai diri & saudaraku,
Muhasabahlah semula,...
Muhasabah sedalam-dalamnya,
Jika ada ciri-ciri yang boleh membuatkanmu futur,
Bersegeralah kembali, agar engkau tidak termasuk dikalangan itu,
Letak dan ikatlah dirimu bersama mereka yang ikhlas,
Agar engkau tidak terlepas ikatan dari pejuang yang sebenar...pejuang yang meletakkan Allah sebagai matlamat hidupnya.

Wahai diri & saudaraku,
Diharapkan dengan bingkisan ini
Dapat mengikis kekaratan yang menyelubungi hati,
Dapat mempertajam senjata yang telah lama tumpul,
Dapat memperkuatkan penglihatan yang telah lama dikaburi dengan silauan keduniaan kepada sinar nur Ilahi,
Dapat mengalirkan semula muara kecintaan kepada Ilahi di dalam lubuk hati.
Dan segala anasir inilah yang sangat diperlukan untuk mendidik hati kita menyerahkan jiwa sepenuhnya untuk kepentingan dan seruan dakwah.

Inilah bekalan kepada penyandang barisan pejuang dan pimpinan Islam,
Mempunyai sekeping hati yang indah berkilauan, kerana CAHAYA keimanan yang terpancar daripadanya...

No comments: