TEXTAREA_ID

Saturday, October 8, 2011

Mencari makna di sebalik pesta konvokesyen

Mohamad Iqbal Ab Wahab
Kira-kira dua minggu yang lalu, saya ditanya oleh seorang wartawan berkenaan perkara yang menarik tentang pesta konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Soalan itu cukup mudah, namun memberi satu impak kepada diri saya untuk mencari jawapan yang tepat dan sebenar tentang istilah perkara yang menarik tentang pesta konvokesyen. Pesta Konvokesyen UIAM kali ke-27 yang berlangsung selama satu minggu bermula 8 Oktober 2011 hingga 15 Oktober 2011 harus mempunyai tarikannya yang tersendiri, bukan sekadar kegairahan untuk memeriahkan suasana konvokesyen di UIAM.



Asasnya, pesta konvokesyen ini bertujuan untuk meraikan graduan-graduan yang berjaya mendapatkan segulung ijazah hasil kerja keras sepanjang proses pengajian dan pengalaman pencerahan ilmu di menara gading ini. Seharusnya, untuk setiap kejayaan itu, perlu ada keraian sebagai perangsang untuk terus maju pada masa hadapan serta merintis jalan untuk melebarluaskan jalur intelek dan etika dalam masyarakat secara amnya.



Namun, apabila sesuatu proses atau perkara itu mengalami pengulangan dan dilihat sebagai suatu adat atau kebiasaan, maka objektif asal kewujudan perkara tersebut seperti pesta konvokesyen misalnya, semakin kabur dan kadang-kadang tidak jelas. Lantaran itu, timbullah idea-idea pelaksanaan yang meminggirkan kesucian nilai akademia dan intelektual yang menjadi fungsi penting bagi sesebuah universiti. Lantas, terdapat kesalahfahaman bahawa pesta konvokesyen ini harus diisi dengan hedonisme dalam usaha untuk mencipta dan mewujudkan suatu momentum kemeriahan dalam pesta.



Apakah ini yang seharusnya diyakini oleh keseluruhan mahasiswa dan masyarakat tentang pelaksanaan pesta konvokesyen? Apakah jenis pemikiran ini harus menjadi asas kepada refleksi modal insan yang menjadi harapan nusa bangsa kelak? Persoalan-persoalan inilah yang secara tidak sengaja diutarakan dalam benak fikiran saya sewaktu memikirkan jawapan bagi pertanyaan oleh wartawan tersebut. Oleh itu, saya melihat pendekatan dalam pesta konvokesyen harus melalui proses penjenamaan semula melalui pelaksanaan program sewaktu pesta berlangsung.



Seharusnya, pesta konvokesyen perlu didasari dengan semangat percambahan ilmu lebih-lebih lagi, universiti sepatutnya bertindak sebagai pusat penyaluran ilmu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat di dalamnya, malahan golongan yang berada di sekitarnya juga. Di Turki dan Indonesia misalnya, pesta konvokesyen penuh dengan pesta jualan buku.



Lantaran itu, pesta konvokesyen UIAM cuba menerapkan kesedaran ilmu melalui program-program seperti National Seminar serta Seminar Penulisan (SerumpuN). Dalam masa yang sama, tidak dipinggirkan juga elemen kemeriahan melalui program-program yang lebih santai seperti Chocolate Fair, Grand Exhibition, Islamic Performance Night dan Fit for Fun Race. Sekurang-kurangnya, pengunjung boleh mendapatkan sesuatu yang bermanfaat melalui aktiviti-aktiviti tersebut lantas memberi impak yang positif dalam menjustifikasikan fungsi universiti sebagai pusat ilmu dan pembinaan masyarakat dalam konteks akademia dan pembangunan modal insan.



Saya juga berpandangan, objektif penubuhan universiti itu sendiri perlu mendasari segala aktiviti termasuklah pesta konvokesyen. Universiti sebagai suatu institusi yang mengembangkan potensi dan mentaliti masyarakat dari sudut kekuatan intelek dan rohaninya harus dijadikan batu asas kepada sebarang bentuk perbincangan dan pelaksanaan. Contohnya di UIAM, misi Triple ICE iaitu Integrasi (Integration), Pengantarabangsaan (Internationalization), Islamisasi (Islamization) dan Kefahaman Menyeluruh (Comprehensive Excellence) seharusnya menjadi pemangkin dalam usaha untuk mencetuskan inspirasi kepada seluruh warga universiti mahupun sekitar. Kesannya, universiti akan lebih bersifat inklusif dalam mendekatkan seluruh masyarakat dengan budaya keilmuan.



Di kesempatan ini juga, tidak terlambat untuk saya mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang bakal menerima segulung ijazah sama ada kedoktoran, ijazah sarjana mahupun sarjana muda. Semoga produk-produk yang terlahir setelah melalui pengalaman ilmu di universiti mampu untuk disebarluaskan dalam kalangan masyarakat seterusnya menggunakan kemahiran yang dilalui sepanjang proses pencerahan ilmu di institusi pengajian tinggi untuk meningkatkan produktiviti dan mentaliti masyarakat supaya mampu berdaya saing di persada antarabangsa.



Penulis ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA

No comments: