Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Feb: PAS menyokong dakwaan rakyat Kelantan bahawa Pengerusi Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed adalah pendehaka kerana enggan menyokong perjuangan rakyat menuntut royalti minyak daripada Kerajaan Persekutuan yang bernilai RM1 bilion.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, Mustapa sepatutnya malu kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang begitu nekad menyokong perjuangan rakyat Kelantan walaupun tahu akibat perbuatan itu boleh menyebabkannya dipecat dari Umno.
“Tengku Razaleigh tahu untuk membezakan yang mana satu hak rakyat dan yang mana satu hak Kerajaan Persekutuan,” ujarnya kepada Harakahdaily.
PAS juga, katanya mengecam surat layang yang diedarkan bagi memburuk-burukkan imej ahli parlimen Gua Musang itu.
Menurutnya, adalah tidak wajar Razaleigh menjadi mangsa sedangkan seluruh rakyat berdiri di atas perjuangan yang sama dan menolak pandangan Mustapa yang jelas menyeleweng dari fakta sebenar.
Tambahnya, PAS juga kesal kerana Mustapa mengungkit dana RM9.3 juta yang digunakan bagi projek pembangunan Medan Tuan Padang, Pasar Siti Khadijah dan Medan Usahawan Perbadanan Stadium Kelantan, walhal itu sememangnya hak dan duit rakyat Kelantan, bukan Umno.
Menurutnya lagi, Mustapa lupa bahawa segala hasil cukai kastam, saman trafik dan pelbagai hasil lain yang dikutip di negeri Kelantan telah banyak disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan.
“Dan tidak sepatutnya menjadi isu jika Kelantan menerima semula peruntukan itu daripada Persekutuan dan kerana duit itu bukan datang dari poket Mustapa untuk diungkit-ungkit.
“Amat memalukan kenapa pemberian kecil itu diungkit semula sedangkan rakyat Kelantan kini menuntut dana yang menjadi hak mereka iaitu duit royalti minyak bernilai RM1 bilion,” ujarnya.
Baginya, hanya kerana Kelantan diperintah oleh PAS, Mustapa dan Umno mencipta pelbagai alasan untuk menjustifikasikan tindakan mereka sedangkan pada hakikatnya rakyat sedar bahawa tindakan itu dibuat atas dasar politik, sama seperti apa yang dilalui oleh Terengganu ketika diperintah PAS.
Katanya, jika di Perak, Umno merampas kuasa rakyat, di Kelantan pula Umno merampas wang rakyat.
“Begitulah Umno yang tidak pernah mengenal erti kesusahan rakyat melainkan ingin mengumpul kuasa dan kekayaan untuk kepentingan mereka sendiri.
“Penderhakaan Mustapa dan Umno ini akan terus tercatat dalam sejarah pembangunan negeri Kelantan dan generasi akan datang harus diperingatkan tentang tragedi paling zalim ini,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment