TEXTAREA_ID

Thursday, April 8, 2010

Hilang’ RM50 juta demi kesejahteraan rakyat


 
Oleh: AZMAN AHMAD

Sungai Petani – Kerajaan negeri tidak berniat untuk menaikkan cukai tanah malahan telah bertindak menurunkan cukai tanah yang dinaikkan pada tahun 2007.
 
”Sebaik sahaja kepimpinan kerajaan negeri bertukar tangan dua tahun lalu, cukai tanah telah diturunkan. Akibat penurunan tersebut kerajaan kehilangan pendapatan sebanyak RM50 juta setahun namun ia dilakukan demi kesejahteraan rakyat,” kata YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sewaktu berucap di majlis penyampaian geran tanah di perkarangan Pejabat Daerah Kuala Muda.

Bagaimanapun kerajaan mendapat semula pendapatan dari penebangan balak yang dibuat melalui tender terbuka dan hasil premium pasir, yang keduanya berjumlah RM58 juta.

Menteri Besar mengingatkan pemilik tanah supaya tidak lupa membayar cukai tanah, kerana cukai tanah adalah sebahagian dari hasil negeri. Begitu juga, katanya, bayaran untuk premium tanah perlu dijelaskan sebelum geran boleh dikeluarkan sebagaimana yang ditetapkan oleh undang-undang.

”Ramai yang telah memohon dan diluluskan tapi kerajaan tidak boleh beri geran kerana mereka tidak membayar premium tanah, apabila mereka tidak membayar, kerajaan tertunggak kutipan cukai tanah.

”Mengikut rekod pejabat tanah, tanah tersebut (yang tidak menjelaskan premium) masih belum bertuan, apabila ada permintaan baru, maka permohonan tersebut akan diproses dan apabila dikeluarkan geran, pemohon kedua membayar premium tanah dan dianugerahkan tanah tersebut kepada dia. Maka timbullah bantahan dari pemohon pertama, walhal dia tidak menjelaskan premium dahulu maka tanah itu bukan lagi miliknya,” jelas menteri besar.

Mengenai premis yang dibina di atas tanah kerajaan, Ustaz Azizan menjelaskan bahawa apabila tiba masanya, kerajaan perlu mengambil tanah tersebut maka kerajaan akan bayar saguhati.

”Ada sesetengah pihak tidak mahu saguhati, mereka mahu pampasan. Inilah yang perlu difahami, pampasan hanya untuk tanah bergeran, tanah hak milik kerajaan jka ada usaha memajukan tanah tersebut, maka kerajaan akan bayar saguhati bukan pampasan,” kata Ustaz Azizan lagi.

Katanya, tidak semua tanah yang dipohon akan diluluskan kerana kerajaan perlu mengambilkira kepentingan tanah tersebut kepada keperluan rakyat yang lebih besar.
Menteri Besar turut menjelaskan kriteria kelulusan tanah anugerah oleh kerajaan.

”Antara syaratnya ialah 10 tahun tidak boleh pindah, selepas 10 tahun, pemilik geran yang dianugerahkan hari ini boleh membuat tukar hak milik ataupun pajak. Sebelum genap 10 tahun, tanah ini dilarang sama sekali dari dipindah milik atau pun di jual. Jika terdapat keperluan yang memerlukan tanah ini dijual, maka kelulusan mesyuarat kerajaan negeri diperlukan

”Jika tanah tersebut terlibat dalam rancangan tanah kerajaan dan pemilik tanah yang tergesa-gesa menukar hakmilik tanah, kerajaan akan menaikkan premium tanah tersebut. Begitu jugak bagi pemilik yang tertunggak cukai tanah, kerajaan akan menaikkan premium tanah tersebut juga.

”Tidak keinggalan juga yang melanggar syarat seperti syarat tanah untuk pertanian tetapi dibina bangunan di atas tanah tersebut, naka premium tanah tersebut juga akan dinaikkan,” jelasnya.

Dalam majlis tersebut seramai 120 pemohon diberi geran hak milik, di mana tanah paling luas diperolehi ialah 10 ekar dan yang paling kecil setengah ekar.

Turut hadir di majlis tersebut ialah YB. Dr Hamdan Mohamed Khalib, YB. S. Manikumar, YB. Haji Abdullah Jusoh dan Pentadbir Tanah Daerah Kuala Muda, Encik Zaid Ahmad.

No comments: