TEXTAREA_ID

Thursday, April 8, 2010

SADA tidak ‘duduk diam’ tapi bertungkus lumus atasi masalah air



Oleh: AMELIA HASHIM

ALOR SETAR: Sebaik sahaja Syarikat Bekalan Air Darul Aman (SADA) diwujudkan pada tahun ini syarikat air itu telah berusaha mengatasi masalah air  dengan perancangan terdekat menambah loji, menaiktaraf  kapasiti loji yang sedia ada dan menyenaraikan paip-paip yang tidak pernah berganti sejak berpuluh-puluh tahun untuk program penggantian.
 
Demikian dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SADA Dato’ Adzmi Haji Din dalam temubual dengan Wartawan Warta Darul Aman.

“Dalam isu air yang digembar-gemburkan oleh media seolah-olah krisis air di Kedah sampai ke peringkat meruncing, pada hal telaga tidak kering, sungai masih ada air dan tidak ada seorangpun yang mati kekeringan malah ada beberapa penduduk yang kita senaraikan dalam kawasan pemantauan bantuan bekalan musim kemarau, mengatakan bekalan air mereka mencukupi dan tidak memerlukannya apabila lori SADA datang menghantar bekalan untuk mereka,” katanya.

Menurutnya, tuduhan bahawa kerajaan negeri tidak menghiraukan penderitaan rakyat yang ketiadaan air di musim kemarau adalah tidak betul.

“SADA bertungkus lumus, berkerja  hingga larut malam untuk menyiapkan pelan perancangan pembangunan dan pengurusan air untuk rakyat tiba-tiba difitnah dengan pelbagai tuduhan.

“Usia SADA baru dua bulan dan kerajaan hari ini baru dua tahun memerintah sedang pemerintah terdahulu yang berkuasa selama berpuluh-puluh tahun mengabaikan masa depan rakyat dari segi bekalan air dengan tidak merancang pembangunan keperluan air supaya seimbang dengan pertambahan penduduk, pembangunan perumahan dan kepesatan industri,” ujar Dato’ Adzmi.

Katanya, Kedah mempunyai  paip air sepanjang 12,000 kilometer semuanya termasuk paip besar dan paip servis. 40 peratus daripadanya dimasukkan ke dalam program pegantian semula.

Buat masa ini, katanya, Kedah mempunyai 33 buah loji yang mampu merawat air  sebanyak 493 juta meter padu setahun. Daripada jumlah itu penggunaan sebanyak 216 juta meter padu dan kerajaan kerugian sebanyak 48 peratus daripadanya kerana hilang disebabkan paip bocor, kecurian dan proses pengewapan.

“Kemarau adalah lumrah alam dan pemberian Tuhan, kekurangan bekalan air yang berlaku adalah perkara biasa dan berlaku setiap tahun apabila tiba musim kemarau, kerana penggunaan air meningkat sebanyak 20 peratus iaitu sebanyak 0.912 meter padu sehari pada Jun tahun lalu dan meningkat kepada 1.101 meter padu sehari pada Februari tahun ini, disebabkan  aktiviti menyiram pokok bunga meningkat kerana  hujan tidak turun.

“Bayangkan berapa jumlah taman-taman perumahan dan rumah-rumah di pinggir Bandar yang menggunakan air untuk menyiram pokok landskap rumah  masing-masing kerana kita ada semua data-data berkenaan dan ketika ini pokok minum air lebih banyak dari manusia” katanya.

Jelasnya, ekoran peningkatan kegunaan air berlakulah gangguan bekalan air di sesetengah tempat di kawasan tanah tinggi atau penghujung sistem paip, yang menyebabkan bekalan air hanya ada di waktu malam kerana di waktu malam seluruh penggunaan air tidak aktif.

No comments: