TEXTAREA_ID

Monday, October 10, 2011

Bajet 2012 terus pinggir SAR

Bajet 2012 terus pinggir SAR
Khairil Abdul Rahim
KUANTAN, 10 Okt: PAS Pahang kesal Sekolah Agama Rakyat (SAR) dipinggirkan dalam pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu.

Ketua Penerangannya, Suhaimi Saad berkata, sedangkan entiti tersebut perlukan peruntukan demi kesinambungan pendidikan yang ternyata selama ini memberi sumbangan kepada masyarakat khususnya dalam ehwal Islam.

“Najib mengumumkan peruntukan besar sektor pendidikan iaitu sebanyak RM50.2 bilion tetapi satu sen pun tidak diagihkan kepada SAR, sedangkan institusi tersebut amat memerlukannya dan semua pelajarnya anak-anak orang Melayu yang beragama Islam.

“Walhal peruntukan pembangunan sebanyak RM1.9 bilion akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh serta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Kita tak tahu sama ada najib terlepas pandang tentang perkara ini atau secara tak sengaja untuk mendera mereka,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Suhaimi, berdasarkan sejarah, SAR sejak zaman penjajahan telah berperanan mempertahankan akidah umat Islam selain menyebarkan pengajaran Islam untuk orang Melayu di negara ini.

Bahkan, guru-guru SAR antara yang bertungkus-lumus mengajar semula anak-anak orang Melayu yang telah buta bacaan jawi.

Beliau tidak menafikan SAR pernah mendapat bantuan daripada pihak kerajaan pada masa-masa lampau.

“Malangnya SAR telah menerima cabaran besar apabila dihentikan bantuan per kapita oleh mantan Perdana Menteri pada tahun 2001 dan difitnah sebagai tapak sarang pengganas pada 2003.

“Daripada kedua peristiwa itulah yang menyebabkan SAR mulai berkurangan pelajar sehingga satu demi satu terpaksa ditutup,” tambahnya.

Tambah Suhaimi, di Pahang pada asalnya terdapat 18 SAR tetapi selepas dua peristiwa tersebut empat daripadanya ditutup dan empat lagi menjadi SABK iaitu menyerahkan urusan pentadbiran kepada kerajaan.

“Pada masa ini hanya ada 10 SAR di Pahang yang boleh dikatakan hidup segan mati tak mahu kerana sumber kewangannya hanya melalui sumbangan orang ramai. Kita kena bayangkan dalam masa guru-guru sekolah mendapat durian runtuh, guru-guru SAR pula ada yang terpaksa mengajar sukarela.

“Sebab itu jika kerajaan bercakap soal pendidikan Islam, generasi Al-Quran, membentuk akhlak remaja, modal insan dan sebagainya maka SAR tidak harus diketepikan kerana ternyata pelajar lepasannyalah yang menjadi pembimbing masyarakat dan mengurangkan angka indeks jenayah selama ini,” jelasnya.


Bajet 2012 terus pinggir SAR

No comments:

There was an error in this gadget