TEXTAREA_ID

Tuesday, October 11, 2011

Kenyataan Media KP DMPP Berhubung Artikel Mashitah

Ditulis oleh AIMAN ATHIRAH AL JUNDI

WEDNESDAY, 14 SEPTEMBER 2011 17:00

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN

DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT



BERHUBUNG ARTIKEL BERTAJUK EPISOD-EPISOD PEMBOHONGAN PAS

TULISAN YB DATO’ DR MASHITAH IBRAHIM







Dewan Muslimat PAS Pusat (Dewan Muslimat) menyifatkan tulisan tersebut sebagai satu yang sangat dangkal, tidak bertitik tolak daripada kebenaran, keadilan bahkan bercirikan suatu dakyah, pemikiran sempit, penipuan, pembohongan, amalan budaya prejudis terhadap Islam, tidak bertanggungawab dan bertujuan untuk memesongkan pemikiran rakyat dan secara jelas suatu usaha tidak bertanggungjawab oleh seorang Sarjana Wanita Islam dalam menimbulkan kebencian kepada perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS yang secara jelas menjadikan Islam sebagai Dasar perjuangan PAS seperti yang terkandung dalam Fasal 3 Perlembagaan PAS (Pindaan 2011). Dasar ini tidak pernah berubah sejak parti ini ditubuhkan pada tahun 1951.







Dewan Muslimat memandang serius akan Tuduhan Mashitah yang berbunyi..”Kerana ingin mengecapi sedikit kuasa, PAS tidak lagi memepertahankan Konsep Negara Islam, tidak bercakap mengenai Hukum Hudud, malah bersekongkol dalam soal penjualan arak dan rumah urut di Selangor...”.







Ia adalah suatu tuduhan keras dan sangat berniat jahat terhadap Gerakan Islam dalam negara ini. Dewan Muslimat menyifatkan tindakan Mashitah ini adalah suatu tindakan pengkhianatan terhadap perjuangan Islam.







Budaya penulisan tidak sihat seperti ini, tidak wajar dilakukan oleh seorang yang bertaraf Senator dan seorang Timbalan Menteri. Hanya berani melontarkan pandangan bersifat tuduhan melulu dan dangkal melalui media proksinya sangat jelas telah menjadi budaya pemimpin politik yang lemah khususnya dari kalangan UMNO Barisan Nasional.







Justeru, Dewan Muslimat ingin menawarkan satu program pencerahan minda kepada khalayak rakyat secara terarah, beradab dan bertamaddun sesuai dengan sifat Islam. Sama ada dalam bentuk Forum Ilmiah ataupun Debat Ilmiah atau mungkin juga Wacana, terpulang kepada mana satu format yang Mashitah berani dan ingin pilih.







Dewan Muslimat akan memberi ruang kepada beliau untuk mengemukakan yakni membentangkan semua hujjah berkaitan tuduhannya khususnya dalam artikel ini dan kemudian diikuti oleh pembentang atau panel daripada Dewan Muslimat pula. Format yang lebih kurang sama seperti Debat Perdana Harga Minyak di antara YB Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Pengguna pada ketika itu. Kita akan aturkan.







Dewan Muslimat akan segera menghantar surat tawaran ini kepada beliau dan berharap beliau akan menyahutnya. InsyaAllah, nawaitu kita adalah Pencerahan Minda Rakyat untuk kepentingan perjuangan Islam dan demi Allah. Dewan Muslimat percaya bahawa hidup setiap ummat Muhammad SAW ini adalah dakwah!







Membangun Negara Berkebajikan.



Muslimat: Memimpin Perubahan, Meneraju Kebangkitan.







Hormat Daripada,







AIMAN ATHIRAH AL JUNDI



Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat



14 September 2011, Kuala Lumpur .

No comments: