TEXTAREA_ID

Tuesday, February 16, 2010

Bukan Sekadar Berarak menandakan kita kasih pada Rasul S.A.W

Tidak cukup dengan berarak, angkat sepanduk dan berselawat

KUALA TERENGGANU, 16 Feb: “Tidak cukup dengan sambut maulud setahun sekali, berarak, angkat sepanduk, berselawat, dalam masa yang sama kita tengok di hadapan mata kita, hukum-hukum Islam, perintah Allah Taala tidak diamalkan,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sehubungan itu, beliau mengajak umat Islam supaya memahami bahawa dibangkitkan Rasulullah s.a.w. untuk mengajar manusia supaya beramal dengan Islam.

“Marilah kita sedar dan faham perkara besar dengan bangkitnya Rasulullah s.a.w. mengajar manusia supaya beramal dengan Islam,” ujarnya ketika menyampaikan ceramah di pekarangan Surau Istiqamah, Padang Nenas, malam tadi.

Turut berucap pada majlis ceramah yang diadakan bersempena Nadwah Ulama PAS Terengganu itu ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa ali dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik.

Katanya, berita kedatangan Rasulullah s.a.w. dibawa oleh Allah Taala melalui semua nabi dan rasul.

Jelasnya, Allah memerintahkan nabi-nabi dan rasul-rasul mengarahkan umat masing-masing supaya beriman, menolong dan berjuang bersama-sama dengan Rasulullah untuk memenangkan sekiranya sempat dengan baginda s.a.w.

“Menolong untuk memenangkan Islam, menang untuk apa, menang untuk memerintah, mendirikan kerajaan,” ujarnya yang menafsirkan ayat 81, surah Aali Imran berhubung perintah Allah tersebut.

Jelasnya, setelah dibangkitkan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi rasul, maka Rasulullah mengajak kaum keluarganya dan mereka yang ditemui supaya mengucapkan dua kalimah syahadah di samping mengajak mereka mendirikan kerajaan yang beramal dengan hukum-hukum Allah sebagaimana yang diturunkan di dalam al-Quran.

Tambahnya, Nabi s.a.w. juga mengumpulkan para sahabat, orang-orang beriman selain mengajak ahli-ahli kitab Yahudi dan Kristian dan mengutuskan surat kepada raja-raja dalam dunia supaya menganut Islam dan menerima Islam sebagai agama yang memerintah dan berdaulat.

Justeru itu, tegasnya perjuangan itu tidak berhenti walaupun Rasulullah s.a.w. sudah wafat.

Maka, katanya, adalah tidak cukup dengan sekadar sambutan Maulidur Rasul setahun sekali dengan berarak, mengangkat sepanduk dan berselawat tetapi dalam masa yang sama tidak melaksanakan perintah Allah Taala.

Tambahnya, akibat tidak melaksanakan hukum-hukum Islam menyebabkan keadaan menjadi huru-hara dengan peningkatan jenayah seperti rompakan, kecurian, pembunuhan dan sebagainya.

Di samping itu, ujarnya, bencana semakin banyak berlaku kerana manusia meninggalkan perintah Allah supaya beramal dengan hukum-Nya dalam semua perkara.

“Marilah kita sedar dan faham perkara besar dengan bangkitnya Rasulullah s.a.w. mengajar manusia supaya beramal dengan Islam,” ujarnya.

Tambahnya lagi, para sahabat dibunuh dan dihalau dari kamung halaman kerana berjuang bersama-sama Rasulullah s.a.w untuk mendirikan kerajaan dan memerintah dengan syariat Allah.

No comments:

There was an error in this gadget