TEXTAREA_ID

Sunday, February 28, 2010

Pemuda perlu berani berubah, lakar sejarah baru

Rusli Yasmin
SHAH ALAM, 27 Feb: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyeru Pemuda PAS supaya berani membuat perubahan dan melakar sejarah baru dalam suasana politik negara yang penuh mencabar.

"Pemuda pasti berjiwa besar, membuka luas minda, tidak terjebak dalam emosi dan sentimen yang menyempitkan perjuangan.

"Pemuda juga mesti berani berubah, berani untuk melakar sejarah kerana itulah sifat pemuda" katanya yang merupakan mantan Ketua Pemuda PAS pada sesi lepas.

Beliau tidak bimbang soal aqidah dan daya juang yang ada dalam diri pemuda selagi sistem tarbiyyah PAS dipandu dan terus diperjuangkan oleh kepimpinan ulamak yang sedia ada pada hari ini.

Jati diri pemuda juga katanya tidak boleh dibina di atas emosi dan sentimen bagi berhadapan dengan suasana politik yang semakin mencabar.

"Apa yang penting bagi pemuda ialah terus maju ke hadapan, kerana cabaran hari ini tidak sama dengan cabaran 30 tahun yang lalu.

"Hari itu telah berlalu, hari ini era yang baru, politik yang memerlukan pemikiran baru, pemikiran yang lebih bijaksana dalam mengharungi bahtera perjuangan ini.

"Hari ini mesti ada nilai tambah, diri kita mesti terus belajar dan terus belajar" katanya.

Beliau merasmikan majlis penerangan dan pelancaran Polisi Latihan Kompetensi Bersepadu Pemuda PAS di sebuah hotel, di sini semalam.



Program selama dua hari itu dianjurkan oleh Akademi Kepimpinan Pemuda di bawah dewan Pemuda PAS Pusat.

Pengarah Program, Ahmad Sabki Yusuf menyatakan bahawa latihan ini bertujuan untuk menyediakan barisan kepimpinan di dalam PAS.

Menurutnya, setiap pemuda PAS mesti menjadi seorang yang kompiten, melaksanakan tugas dengan sempurna dan berkesan selain menjadi orang yang beramanah dan berintegriti.

"Kita tidak boleh menjadi orang yang baik semata-mata tetapi tidak boleh melaksanakan tugas dengan baik.

"Adalah menjadi suatu fitnah pada agama kita, sekiranya kita mendokong perjuangan agama ini tetapi diri kita tidak diterapkan dengan 'al-qawiyy' dan 'al-amin'." kata beliau yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Program tersebut dihadiri oleh 200 Pemuda PAS yang merupakan pelapis kepimpinan pemuda yang mewakili setiap negeri.

Turut hadir dalam program semalam, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani, bersama exconya Kamaruzaman Mohamad, Adram Musa, Ir Hj Mohd Khairil Nizam dan Zuraidin Abdullah.

No comments:

There was an error in this gadget