TEXTAREA_ID

Tuesday, February 16, 2010

LOGO HALAL DISERAGAMKAN

Laporan Khas: Logo halal diseragam

Akta Perihal Dagangan 1972 dipinda Jun ini

'Logo Halal Malaysia' diperkenal gantikan pelbagai logo keluaran syarikat swasta

Hanya Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri diberi hak eksklusif keluarkan sijil

AKTA Perihal Dagangan 1972 (APD 72) akan dipinda Jun ini bagi mewujudkan satu badan tunggal saja dibenar mengeluarkan sijil dan logo halal dikenali sebagai 'Logo Halal Malaysia', sekali gus dijangka mengakhiri sebarang tindakan memalsukan sijil serta logo halal yang berleluasa sejak kebelakangan ini.

Dengan pindaan itu, akan memberi kuasa kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melantik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) sebagai pihak bertanggungjawab mengeluarkan sijil dan logo halal Malaysia.



Pengarah Hab Halal Jakim, Saimah Mokhtar, berkata sebelum pindaan itu dilakukan Jun ini pihaknya akan mendapat persetujuan semua negeri untuk menyeragamkan undang-undang berkaitan sijil dan logo halal kerana hal berkaitan agama adalah dalam bidang kuasa Jain masing-masing.

"Kami menjangka akan mendapat persetujuan itu Mac ini dan persetujuan ini akan memberi hak eksklusif pengeluaran sijil dan logo halal kepada badan pensijilan halal tunggal. Penyeragaman itu bermakna kita akan ada satu sistem, satu standard dan satu sijil.

"Penyeragaman juga akan memperkukuhkan kuasa negeri dalam isu pensijilan dan logo halal. Yang penting, melalui penyeragaman itu nanti hanya akan ada satu sijil halal diguna pakai iaitu sijil halal Malaysia. Selepas ini diharap tidak timbul lagi isu sijil halal palsu atau meragukan hingga mengelirukan pengguna," katanya kepada Berita Harian pada pertemuan di pejabatnya di Cyberjaya.





Buat masa ini, beberapa syarikat swasta mengeluarkan sijil halal hingga statusnya diragui dan keadaan itu juga dikatakan mendorong berlakunya kegiatan mengeluar sijil dan logo halal palsu. Jika APD 72 itu dipinda, bermakna sebarang pengeluaran sijil dan logo halal hanya menjadi hak eksklusif Jakim dan Jain.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini membuat laporan polis mengenai ratusan premis makanan di negara ini menyalahgunakan sijil halal yang dibeli pada harga antara RM800 hingga RM1,000 setiap satu daripada dua syarikat dikatakan aktif mengeluarkan sijil halal palsu.

Pihak berkuasa pula kelihatan sukar membanteras kegiatan itu kerana mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 (APD 72), sesiapa saja boleh mengeluarkan sijil halal dan disebabkan itu, isu yang timbul berkaitan pensijilan halal tidak dapat diselesaikan secara berkesan.

Mengikut APD 72 Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan 'Halal') 1957, sesiapa saja boleh menggunakan perbahasaan seperti 'halal', 'ditanggung halal' atau makanan Islam, dengan syarat mereka mematuhi perkara digariskan.

Bagaimanapun, jika ada maklumat bahawa pengesahan atau pensijilan halal oleh pihak lain sebenarnya tidak halal mengikut hukum syarak, tindakan boleh diambil terhadap pihak berkenaan mengikut APD 72.

Saimah menjelaskan, dakwaan mengenai premis dikatakan menggunakan logo palsu itu perlu dipastikan terlebih dulu kerana logo dikeluarkan syarikat swasta yang mengikut peraturan ditetapkan APD 72, bukan logo palsu.

"Jadi kita perlu pastikan apakah pemalsuan logo itu ialah menggunakan logo halal Malaysia yang dikeluarkan Jakim oleh mereka yang bukan pemegang sijil. Jika benar, Jakim boleh mengambil tindakan.

"Sebenarnya, kita memang ada kes syarikat menggunakan logo halal keluaran Jakim pada produk mereka tetapi tidak pernah memohon sijil halal. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sudah mengambil tindakan dan syarikat itu sudah dikompaun

"Bagi logo dikeluarkan syarikat swasta, itu di luar bidang kuasa Jakim. Bagaimanapun, aduan tetap diterima kerana pengguna mengharapkan Jakim beri perhatian, terutama hal berkaitan sumber bahan berasaskan daging di premis mendapat sijil halal pihak lain," katanya.

Beliau berkata, bagi kes premis mempamerkan sijil halal diperoleh hanya dengan membayar jumlah tertentu tetapi tidak memenuhi syarat digariskan atau tidak dilakukan pemeriksaan rapi, KPDNKK boleh mengambil tindakan mengikut seksyen 15 (1) APD 72.

Katanya, pengeluaran sijil halal tanpa perlu melalui proses pemeriksaan rapi dikategorikan sebagai kesalahan pensijilan tanpa berhemah kerana tiada pengauditan dibuat dan boleh menimbulkan keraguan kepada status sebenar premis itu.

Ditanya apakah peraturan dikenakan Jakim untuk mendapatkan sijil dan logo halal terlalu ketat menyebabkan banyak pihak mengambil keputusan memohon sijil halal daripada syarikat swasta, Saimah menafikannya.

Katanya, industri di negara ini sepatutnya dibangunkan untuk memenuhi keperluan serta standard halal sebenar kerana masalah sekarang ini, pihak industri tidak mencapai piawaian ditetapkan bagi mendapatkan sijil dan logo halal Malaysia.

"Standard kita komprehensif, digubal oleh pakar syariah dengan gabungan ahli sains, pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Standard kita lengkap iaitu halalan toyyibah berasaskan syariah serta diperkukuhkan dengan aspek kualiti dan keselamatan.

"Industri perlu berusaha mencapai keperluan digariskan Jakim. Sekarang ini disebabkan tidak mampu, industri mengambil jalan pintas mohon sijil pihak lain. Akibatnya, pengguna jadi keliru dan mangsanya ialah Jakim kerana kita yang mengeluarkan sijil serta logo halal," katanya.

Oleh itu katanya, menjadi harapan Jakim supaya penyeragaman pensijilan dan logo halal dapat dilaksanakan supaya pindaan APD 72 dibuat segera bagi memastikan hanya badan tunggal dilantik KPDNKK boleh mengeluarkan sijil dan logo halal Malaysia.

Dengan wujud badan tunggal pensijilan halal itu nanti, diikuti pula dengan penggubalan Akta Halal, isu lambakan sijil dan logo halal oleh pihak lain yang mengelirukan pengguna akan dapat diatasi secara berkesan.

No comments:

There was an error in this gadget