TEXTAREA_ID

Monday, February 15, 2010

YANG AKU IDAM2 KAN

Sebuah Negara Idaman…
sumber:http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/2006/11/baldatun-toiyyibatunwa-rabbun.html
BALDATUN TOIYYIBATUN

WA RABBUN GHAFUUR

Sebuah Negara Idaman .
Firman Allah di dalam surah Saba’ :

Sesungguhnya bagi penduduk Saba’ di negeri mereka ada suatu ayat (tanda kekuasaan Allah) yaitu dua bidang kebun, di sebelah kanan dan di sebelah kiri, (di katakan kepada mereka), Makanlah rezeki Tuhanmu dan bersyukurlah kepadanya, Inilah negeri yang baik dan tuhan yang pengampun.

( Surah Saba. Ayat : 15 )

Ini adalah sebahagian daripada ayat di dalam surah Saba’ yang menceritakan tentang kisah tamaddun di zaman lampau yang menjadi kuasa besar di bahagian selatan semenanjung tanah arab. Suatu kuasa yang telah melalui zaman pembinaan, zaman kegemilangan dan zaman kajatuhan.

Ayat di atas menceritakan zaman kegemilangan kaum Saba’, (kitab injil menyebut Sheba’) yang bukan sahaja sahaja merupakan sebuah negara yang kaya, bahkan ia merupakan sebuah negara yang mendapat pengampunan daripada tuhan.

Sebuah kerajaan yang teragung dan yang terbesar yang menurut satu riwayat pernah menaungi semua kerajaan yang berada di semenanjung tanah arab pada zaman lampau.

Mempunyai pemerintahan yang bertahan selama ratusan tahun bermula pada tahun 950 SM sehingga 115 SM. Oleh kerana keagungan yang telah di lalui oleh mereka ini, maka kisah ini di rakamkan oleh Allah swt di dalam surah Saba’ dan surah Al-Naml.

Kemajuan Saba’ Dan Kegemilangannya.

Jikalau kita melihat didalam kitab kitab sejarah, seperti Al-Bidayah Wa Al-Nihayah, maka kita dapati ketinggian Tamaddun Saba’ ini mempunyai beberapa keistimewaan jika di bandingkan dengan tamaddun-tamaddun arab lain seperti kerajaan Himyar, Ma’in, Qataban dan lain-lain.

Keistimewaan-keistimewaan ini adalah di antara punca kerajaan Saba’ mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi. Walaupun di sana telah di gariskan banyak punca kecemerlangan, di sini saya kemukakan noktah yang paling penting yang menjadi punca kemajuan mereka, iaitu kemajuan mereka adalah kemajuan yang di dorong oleh aspek ketaqwaan kepada Allah swt. dan akidah yang tulen.

Maka dengan sebab inilah Saba’ di sifatkan sebagai negara yang makmur, dan negara yang mendapat pengampunan daripada Allah swt.

Jika kita mengkaji kitab sejarah, seperti Al-Kamil fi al-Tarikh, Al-Bidayah wa Al-Nihayah, dan juga kitab-kitab tafsir berkenaan dengan kisah ini, maka kita akan dapati bahawa zaman kegemilangan ini berpunca daripada perutusan Nabi Allah Sulaiman Alaihissalam, yang telah menjadikan Ratu Balqis yang merupakan Ratu yang memerintah Saba’ sebagai seorang yang beriman kepada Allah swt. Maka bermulalah zaman keagungan Saba’. Maka kita percaya dan beriman tentang janji Allah swt,

Jika sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya kami akan tumpahkan keberkatan daripada langit dan keberkatan dari bumi, tetapi mereka mendustakan, maka sebab itu kami seksa mereka di sebabkan usahanya itu.

( Surah al A’raaf . Ayat : 96 )

Tamadun Saba’ Di Zaman Iman Menjadi Role Model.

Apakah kita tidak percaya dengan janji Allah yang menjanjikan limpahan berkat daripada langit dan bumi, jika negara kita negara yang beriman? Apakah kita tidak yakin dengan janji ini sebagaimana orang kafir tidak mengimaninya? atau kita lebih yakin kepada barat yang merupakan tamadun yang tidak islam pada hari ini sebagai ikutan kita untuk mencapai tahap kemajuan ?

Perbezaan antara tamaddun Saba’ dan tamaddun barat pada hari ini amat berbeza, tamaddun barat pada hari ini hanyalah maju dari sudut ekonomi, teknologi dan ketenteraan sahaja.

Tetapi Kerajaan Saba’ bukan setakat itu, bahkan ia mendapat kemajuan dari sudut sosial di samping mempunyai empayar ekonomi, ketenteraan dan teknologi pembinaan yang tinggi sehingga mereka dapat membina empangan Ma’rib yang masyhur dan masih kekal sehingga ke hari ini.

Kemakmuran dan keberkatan ini kita dapat lihat, melalui kesenangan yang di rasai oleh penduduk mereka ; sehinggakan perempuan yang melalui di bawah pohonan buah tidak perlu memetik dengan cara memanjat atau mangait buah-buahan yang berada di atas kepala mereka , tetapi cukup dengan menjunjung bakul di bawah pohonan tersebut, kerana buah-buahan akan masuk dengan sendirinya kedalam bakul mereka sebagaimana yang telah di ceritakan oleh Qatadah.

Begitu juga perjalanan mereka yang berulang alik daripada Saba’ dan Syam yang memakan jarak ribuan kilometer, sang musafir tidak memerlukan kepada bekalan dan tidak takut kepada ancaman perompak, penyamun dan seumpamanya sebagaimana yang telah di ceritakan oleh Zamakhsyari.

Apakah ini kita dapati ada pada tamaddun sekarang, bahkan negara yang apabila semakin maju, maka semakin banyak jenayah yang berlaku di dalam negara tersebut.

Maka jika kita memandang dengan pandangan iman dan ilmu, maka kita dapat simpulkan bahawa tamaddun barat hari ini bukan lah merupakan tamaddun yang sebenar kerana ia tidak merangkumi semua aspek kemajuan. Maka ia tidak perlu menjadi kebanggaan kepada kita dan negara kita sebagai ikutan.

Zaman Keruntuhan Dan Kehancuran.

Apa yang menjadi perhatian kita di dalam kisah ini ialah zaman keruntuhan kerajaan Saba’. Jika kita melihat ayat-ayat yang menceritakan tentang tamadun Saba’, hanya terdapat dua ayat sahaja yang menceritakan tentang keagungan mereka, dan selebihnya ialah sebab-sebab kehancuran dan kejatuhan mereka.

Di antara sebab-sebab yang jelas yang di ceritakan oleh Allah swt ialah kerana mereka tidak mensyukuri nikmat yang telah di kurniakan oleh Allah swt sebagaimana firmannya :

Kemudian mereka berpaling, lalu kami kirimkan kepada mereka banjir yang merobohkan bendungan dan kami tukar kedua kebun mereka dengan dua kebun lain yang mempunyai buah yang pahit dan pohon atsl (pohon kayu yang tidak berbuah) dan sedikit pohon sidr.

( Surah Saba. Ayat : 16 ).

Apa makna kemudian mereka berpaling? Adakah mereka tidak mengucap alhamdulillah? Atau tidak bertahmid? Bukan, bukan… Bahkan ulama’ tafsir menyatakan mereka berpaling daripada mengikuti ajaran rasul…. Ajaran tauhid…

Maka inilah di antara perkara yang punca dan penyebab kecelakaan sesuatu umat. Kejatuhan kerajaan firaun yang besar di tangan Nabi Musa, kerajaan babylon di zaman Nabi Ibrahim, dan kerajaan Parsi dan Rom di zaman Nabi Muhammad dan umatnya, tidak lain dan tidak bukan melainkan kerana mereka tidak mengikuti ajaran nabi-nabi yang di utuskan kepada mereka.

Maka apakah negara kita telah melaksanakan ajaran yang di bawa oleh Nabi sehingga negara kita di anggap sebagai negara yang syukur dan tidak berpaling sebagaimana yang telah di nyatakan di dalam ayat? Maka ini adalah tempat kita bermuhasabah… Sebagai orang beriman dan orang yang belajar agama dan memahami al-quran.

Sebab Kejatuhan Dan Keruntuhan.

Antara sebab kecelakaan sesuatu kaum (أسباب هلاك الأمم ) ialah berlakunya monopoli, yang di sifatkan sebagai sikap yang berpunca daripada pemerintah yang menyebabkan sesebuah negara hancur. Di mana sikap inilah juga yang menjadi punca kepada keruntuhan kaum Saba’. Firman Allah swt:

(maka kamakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata: "Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan Kami (di antara sebuah bandar Dengan Yang lain)", dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri; lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut orang ramai, serta Kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya kisah mereka Yang tersebut mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang (mukmin) Yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.

( Surah Saba’ . Ayat : 19 )

Mereka berdoa selepas Allah berikan kesenangan dengan memudahkan perjalanan daripada Yaman ke Syam sehingga orang-orang miskin dapat bermusafir dengan mudah.

Tetapi ini perkara yang tidak di senangi oleh pembesar sehinggakan mereka berharap supaya perjalanan dari yang mudah supaya di payahkan supaya golongan miskin tidak dapat ikut serta dan mengecapi kesenangan tersebut.

Atau dengan kata lain kesenangan dan kemewahan di dalam negara mahu di monopoli oleh pihak-pihak tertentu sahaja, samada ia berupa syarikat-syarikat besar di dalam negara atau projek-projek yang menguntungkan sesetengah pihak sahaja tanpa mengambil kira golongan miskin : seperti tol, kenaikan minyak dan seumpamanya.

Maka ini adalah di antara sebab mengapa mereka di binasakan. Dan Allah swt menyifatkan ini sebagai perbuatan yang menzalimi diri mereka sendiri. وَظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ dan mereka menzalimi diri mereka sendiri.

Negara kebajikan semakin lenyap. Negara perniagaan semakin terserlah. Sikap monopoli semakin berleluasa. Prinsip negara kebajikan yang dibina oleh nabi-nabi dan rasul-rasul semakin hilang. Model kerajaan kebajikan di zaman Iskandar Zulkarnain terhakis.

Maksudnya: Mereka berkata: "wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?". Dia menjawab: "(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.

( Surah Al-Kahfi. Ayat : 94-95 ).

"Negara kebajikan" yang diterangkan di dalam ayat ini menunjukkan Zulkarnain tidak menerima cukai yang hendak diberikan oleh rakyat, tetapi bantuan yang dipinta diberikan tanpa balasan.

Raja yang beriman ini tidak memikirkan cara-cara memaximumkan kemasukan negara, tetapi memikirkan bagaimana membantu rakyat.

Jika pemimpin negara sentiasa memikirkan cara memaximumkan kemasukan negara dan meminimumkan pengeluaran negara walaupun membebankan rakyat, maka negara ini dianggap sebagai "negara perniagaan" yang menjanjikan kegelapan dan kehancuran sebagaimana yang disebut oleh seorang tokoh sosiologi terkenal, iaitu Ibnu Khaldun di dalam Mukaddimahnya:

إِنَّ التِّجَارَةَ مِنَ الْحُكُوْمَةِ مَفْسَدَةٌ

( sesungguhnya, perniagaan dari pihak kerajaan (kepada rakyat) merupakan kemusnahan ). [1]
Kekayaan kerajaan yang hakikatnya menguntungkan sesetengah pihak dibina diatas keperitan rakyat. Bebanan tol, kenaikan minyak dan barangan ditanggung oleh rakyat pertengahan dan miskin, dan dalam masa yang sama elaun pembesar-pembesar dinaikkan.

Rumah-rumah rakyat diroboh, kepentingan politik, kuasa, dan dendam membutakan mata hati mereka sehingga tidak dapat membezakan antara rumah musuh mereka dan rumah Allah s.w.t. Semua dirobohkan.

Sikap monopoli seperti inilah, akhirnya menyebabkan kaum saba’ ditimpa banjir batu yang besar sebagai bala daripada Allah.

Firman Allah swt :

Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir Yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu Dengan dua kumpulan kebun Yang berisi Dengan pohon-pohon Yang pahit buahnya, dan pohon-pohon Yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.

( Surah Saba’ . Ayat : 16 )

Justeru itu mereka terus lemah dan akhirnya kerajaan Saba’ ini telah di gantikan dengan kerajaan Himyar atau Tubba’ yang di sebut oleh Allah swt di dalam surah Dukhaan ayat 37.

Maksudnya: (Mengapa mereka masih berdegil dalam kekufurannya?) Adakah mereka yang lebih kekuatan dan kehandalannya atau kaum "Tubba’" dan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu semuanya Kami telah binasakan, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa.

( Surah Al-Dukhan. Ayat : 37 ).

Hakikat Kekayaan Dan Konsep Syukur Yang Dituntut.

Dua perkara yang menarik perhatian kita di dalam masalah أسباب هلاك الأمم ini iaitu sikap tidak mengikut ajaran keagamaan dan sikap monopoli di dalam sesebuah negara perlu menjadi pengajaran kepada kita semua sebagai seorang yang beriman kepada Allah swt.

Kita sebagai seorang islam yakin dengan janji yang telah Allah swt janjikan kepada kita tentang pengurniaan berkat di sebalik ketaqwaan penduduk sesebuah negara sebagaimana firmannya :

Jika penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya kami akan tumpahkan keberkatan daripada langit dan keberkatan dari bumi.

( Surah Al-A’raaf. Ayat :96 )

Maka kita dapat melihat kekayaan hanyalah di miliki oleh negara yang beriman dan negara umat islam sahaja. Emas hitam yang di kenali sebagai petrol hanya di miliki oleh negara umat islam. Yang tidak wujud di negara yang bukan islam melainkan kadar yang sedikit sahaja.

Maka ini adalah nikmat yang perlu kita syukuri, dengan cara kita melaksanakan ajaran Allah, dan menjauhkan laranganya.

Bersyukur dengan tidak memonopolinya dan mengagihkan keuntungan tersebut kepada golongan yang tertentu sahaja. Tidak mempolitikkan nikmat ini, sehingga golongan yang berhak menerimanya di pinggirkan, dan golongan yang telah “kenyang perut” mendapat habuan, sedangkan nikmat ini di kurniakan oleh Allah kepada golongan yang bertaqwa, bukan golongan pemonopoli, yang menjadikan wasilah politik sebagai medan kearah ini.

Kalau tidak kerana golongan pengislah wujud di dalam negara, nescaya negara itu telah dilanda bala bencana daripada Allah s.w.t : firman Allah s.w.t :

Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.

( Surah Hud. Ayat :117 )

Semoga matlamat dunia mendapat berkat dan matlamat akhirat tidak dilupakan.

No comments: