TEXTAREA_ID

Thursday, February 18, 2010

Qazaf: Mahkamah dengar hujah bantahan awal 10 Mac

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, menetapkan 10 Mac depan bagi mendengar hujah tiga responden dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam bantahan awal terhadap permohonan Ketua Pembangkang itu untuk meneruskan pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Selain bagi tujuan itu, Hakim Syarie, Mohd Shukor Sabudin turut menetapkan tarikh itu bagi memberi peluang kepada kedua-dua pihak memfailkan afidavit masing-masing.

Terdahulu, tiga responden yang dinamakan Anwar terdiri daripada Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain sebagai responden pertama diikuti Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali sebagai responden kedua dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom sebagai responden ketiga.

Pada 9 Februari lalu, semua responden melalui peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar membuat bantahan awal terhadap permohonan Anwar untuk mendakwa Mohd Saiful yang merupakan bekas pembantunya atas kesalahan qazaf atau tuduhan palsu berhubung kes liwat yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi kini.

Pada prosiding semalam, peguam Anwar, Kamar Aniah Kamaruzaman memberitahu mahkamah, pihaknya memerlukan masa untuk menjawab afidavit jawapan terhadap bantahan awal tiga responden berkenaan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh memfailkan permohonan pada 7 Januari lalu, supaya Mahkamah Syariah melaksanakan kuasa mengikut Seksyen 58 (2) Akta Pentadbiran Undang- Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1963 untuk memerintahkan responden pertama (Shamsuddin) menggunakan kuasa sedia ada padanya bagi mendakwa Saiful kerana kesalahan qazaf (tuduhan zina tanpa mengemukakan empat saksi).

Pada masa sama beliau juga memohon kuasa mahkamah bagi memastikan responden kedua (Che Mat) dan ketiga (Jamil Khir) agar tidak menghalang atau mempengaruhi ketua pendakwa syarie itu membuat pertuduhan terhadap Saiful.

Pada prosiding semalam juga, mahkamah turut mengarahkan ketiga-tiga responden memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan Anwar itu

No comments: