TEXTAREA_ID

Tuesday, February 16, 2010

Hubungan bebas punca buang bayi

KOTA BHARU – Pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan pada masa kini punca berlakunya kes pembuangan bayi di negara ini, kata Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Abdul Aziz berkata, Islam dari awal lagi mengehadkan pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang dipanggil aurat.

“Kes buang bayi yang berlaku pada masa kini berpunca dari kebebasan yang tidak terbatas. Islam awal-awal lagi meletakkan hubungan lelaki dan perempuan ada batasnya. Kita panggil aurat Islam.

“Ia mengharamkan perempuan buka aurat. Sebab itu bergaul bebas tidak dibenarkan. Kelantan menetapkan sebagaimana Nabi SAW kehendak. Seperti kediaman dengan tiga bilik. Ini semuanya bertujuan untuk sekat kebebasan seks,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kes pembuangan bayi yang berlaku di Kuala Krai, kelmarin.

Nik Abdul Aziz berkata, langkah kerajaan yang mengamalkan dasar sekular juga menjadi punca masalah sosial semakin meningkat.

“Oleh sebab negara kita sekular, tolak agama ambil kebangsaan, jadi masalah seperti ini akan banyak lagi pada masa depan. Kalau orang kita masih agung sekular, asing agama dari politik banyak masalah akan timbul,” katanya.

Kelmarin, mayat bayi lelaki dipercayai baru lahir ditemui rentung separuh badan dan kaki terputus dalam tong sampah di Jalan Tengku Zainal Abidin berhampiran Agrobank cawangan Kuala Krai.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani berkata, mayat masih beruri dan tali pusat itu ditemui pekerja Majlis Daerah Kuala Krai (MDDK) ketika memungut sampah di tong berkenaan kira-kira jam 11 pagi, Sabtu lepas.

Menurutnya, tiga pekerja MDKK terbabit kemudian memaklumkan penemuan bayi itu kepada dua anggota polis yang membuat rondaan bermotosikal di kawasan itu.

Ab Rahim dilaporkan berkata, mulanya tiga pekerja terbabit mendapati tong sampah itu sudah terbakar dan apabila hendak diambil sampahnya mereka ternampak mayat bayi separuh terbakar.

Ab Rahim berkata, bayi malang itu dipercayai dibakar antara tengah malam hingga awal pagi Jumaat lalu, kerana maklumat awal polis mendapati tong sampah itu terbakar sejak pagi Khamis lalu.

Menurutnya, mayat bayi itu dihantar ke hospital untuk bedah siasat, termasuk bagi mengenal pasti sama ada bayi itu masih hidup atau sudah mati ketika dibakar.

Menurutnya, polis juga mengesyaki perbuatan kejam itu kemungkinan besar dilakukan remaja sekitar bandar itu, termasuk pelajar yang tinggal di asrama atau pekerja pasar raya pekan itu.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat, termasuk jika ada remaja yang sebelum ini mengandung dan baru bersalin supaya melaporkan kepada polis.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

No comments:

There was an error in this gadget