TEXTAREA_ID

Thursday, February 18, 2010

Rayuan Anwar ditolak lagi

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 17 Feb. - Pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) kekal setelah Mahkamah Rayuan memutuskan pertuduhan liwat yang dihadapinya bukan satu penindasan mahupun penyalahgunaan proses mahkamah.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Wira Abu Samah Nordin memutuskan demikian secara sebulat suara setelah menolak rayuan Ketua Pembangkang itu agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Sulaiman Daud dan Hakim Datuk Azhar Ma'ah turut menolak permohonan lisan Anwar agar keputusan hari ini digantung sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 1 Disember tahun lalu yang menolak permohonannya agar tuduhan liwat itu dibatalkan.

Anwar mengemukakan permohonan itu dengan alasan tuduhan berkenaan berniat jahat, menindas dan menyalahgunakan proses mahkamah selain satu konspirasi politik serta muslihat jahat sama seperti pertuduhan yang dihadapinya pada 1998.

Anwar didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Hakim Abu Samah ketika membacakan penghakimannya berkata, Anwar gagal membuktikan tuduhan itu berbentuk penindasan, berniat jahat (mala fide) atau penyalahgunaan proses mahkamah yang membolehkan panel itu menggunakan kuasanya membenarkan rayuan tersebut.

Sebaliknya, beliau berpuas hati dengan hujah Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden bahawa pertuduhan terhadap perayu (Anwar) tiada cacat cela meskipun tiada laporan klinikal yang kukuh menunjukkan berlaku kemasukan zakar.

Hakim berkenaan turut berpuas hati bahawa laporan perubatan yang disandarkan oleh pendakwaan belum lengkap kerana ia perlu disokong oleh keterangan forensik doktor pakar dan ahli kimia yang menyediakannya.

Hakim Abu Samah menyatakan, pihak pendakwaan turut mengemukakan afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria bahawa laporan itu hanya peringkat pertama penyediaan dan masih perlu disokong oleh keterangan forensik.

Terdahulu, peguam Karpal Singh berhujah agar tuduhan itu digugurkan kerana ia tidak berasas memandangkan laporan perubatan oleh tiga doktor yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari menyatakan tiada penemuan klinikal yang kukuh menunjukkan berlaku kemasukan zakar dalam dubur pengadu.

Karpal berkata, ketiadaan elemen yang amat penting itu mencacatkan tuduhan liwat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan sedangkan ia menjadi asas kepada intipati pertuduhan.

Anwar memohon pertuduhan tersebut dibatalkan kerana mendakwa laporan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Pusrawi menunjukkan tidak terdapat kemasukan zakar ke dalam dubur Mohd. Saiful Bukhari.

Hakim Mohamad Zabidin dalam keputusannya menyatakan, walaupun laporan itu menyatakan 'tiada penemuan klinikal yang kukuh menunjukkan kemasukan zakar dalam dubur pengadu', ia tidak boleh dijadikan asas bagi mahkamah menggunakan kuasanya membatalkan pertuduhan tanpa mendengar keterangan saksi-saksi terlebih dahulu.

Selepas Hakim Abu Samah mengumumkan keputusannya, Karpal mengemukakan permohonan lisan agar perintah hari ini digantung sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Peguam bela berhujah, tindakan meneruskan perbicaraan dengan memanggil saksi-saksi memberi keterangan hanya akan membazirkan wang rakyat.

Bagaimanapun, Mohd. Yusof memohon permohonan itu ditolak atas alasan ia tidak sempurna kerana tidak disertai dengan pemfailan notis usul dan afidavit sokongan.

Hakim Abu Samah yang menangguhkan prosiding kira-kira 15 minit kemudian menolak permohonan tersebut atas alasan ia tidak sempurna dan dikemukakan secara lisan.

Sementara itu, Karpal ketika ditemui pemberita di luar mahkamah menyatakan, pihaknya akan memfailkan notis usul bagi memohon penggantungan perintah serta notis rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan, esok.

No comments: